LOKL di Kuala Lumpur
Bukan senang nak lepak Kuala Lumpur di waktu kerja, jadi sementara ada cuti sempena Merdeka dan sambutan hari kemerdekaan dibuat di Putrajaya, kami pun bergerak ke Kuala Lumpur untuk bersiar-siar ketika bandaraya ini sedikit lengang. Untuk sarapan/makan tengahari (sarahari?) atau brunch kami mengunjungi sebuah restoran comel yang dinamakan LOKL Coffee Co. Restoran ini bertempat di tengah-tengah bandar Kuala Lumpur di Jalan Tun H.S.Lee, sila Waze untuk lokasi. Ironinya makanan yang disediakan bukan bertemakan makanan tempatan walaupun nama restoran ini berbunyi seperti lokal, yang bermaksud tempatan. Mereka menghidang pelbagai jenis masakan dengan sedikit Asian twist katanya. Jadi siapa yang teringin nasi lemak, lontong, soto dan sebagainya, ini bukan destinasi ye.
Kami memilih tiga hidangan, Eggs Florentine, Smoked Brisket Hash dan Biscuits & Gravy. Hidangan telur itu berbaloi kerana ada salmon, bayam dan sos hollandaise di atas sekeping English muffin. Kami suka dengan rasa dan cara hidangannya. Smoked Brisket Hash mengandungi brisket, kentang goreng, sosej, bawang dan sos bbq, dengan telur goreng di atas. Hidangan ini agak ‘kaya’, berat dan mengenyangkan. Akhir sekali ialah Biscuits & Gravy, dan terus terang, hidangan ini tidak menepati jangkaan langsung. Kami mengharapkan biskut seperti di Texas Chicken serta gravy yang berperisa tapi dua-dua harapan berkecai. Nasib baik ada order telur tu.
Kombinasi brisket, kentang, bawang, sosej dalam sos barbeque |
Indah rupa daripada rasa
Sos Hollandaise yang enak
Alamat dan semakan harga ada di dalam resit.
BEST KE?
Hmmm…. Persekitaran restoran ini cantik, layanan tahap kafe hipster yang agak bagus sebab mesra pelanggan tetapi masakannya boleh diperbaiki lagi pada pendapat kami. Jauh berjalan luas permandangan, banyak yang telah kami rasa dan untuk biskut dan kuah yang berharga RM22 lebih, tidak sesuai dengan apa yang dihidangkan, kerana rotinya padu, liat dan kuahnya pekat, sekali jamah tak ingin lagi. Namun, LOKL juga menghidangkan aneka kek dan kami terlupa nak cuba kopi di sini. Baunya harum, mungkin kopinya mengasyikkan.
Comments
Post a Comment